4 OGOS : Kerajaan berhasrat untuk membuat beberapa pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 atau akta 709 untuk penambahbaikan dan cadangan pindaan tersebut telah pun dipanjangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) kepada Jabatan Peguam Negara pada 28 Jun lalu untuk tindakan selanjutnya.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, antara cadangan pindaan yang dibuat ialah mewajibkan semua pengguna data melantik Data Protection Officer dan memperkenalkan Data Breach Notification yang mewajibkan semua pengguna data untuk melaporkan kebocoran data kepada pesuruhjaya Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dalam tempoh 72 jam.
“Antara cadangan pindaan yang lain ialah mewajibkan pemproses data untuk patuh kepada prinsip keselamatan di bawah akta 709 dan membenarkan pemindahan data peribadi antara pengguna data atas permintaan subjek data sekiranya sistem teknikal membenarkannya.
“Selain itu, cadangan untuk pemansuhan penentuan senarai tempat rentas sempadan yang akan menggantikan senarai tempat dengan senarai hitam bagi pemindahan data peribadi rentas sempadan.
“Cadangan pindaan-pindaan ini akan mewujudkan polisi dengan data yang lebih kukuh dan dinamik, sebagai contoh pengunaan instrumen baharu seperti pelantikan pegawai perlindungan data peribadi dan notifikasi ketirisan data,” katanya.
Annuar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizurkirnain ABd Kadir yang ingin mengetahui apa perancangan KKOM untuk meminda fasal dalam Akta Perlindungan Peribadi bagi menangani pencerobohan hampir 100 juta data peribadi.
Katanya lagi, cadangan pindaan-pindaan ini akan mewujudkan polisi perlindungan data yang lebih kukuh dan dinamik, sebagai contoh penggunaan instrumen baharu seperti pelantikan pegawai perlindungan peribadi dan notifikasi pencerobohan data.
Tambah Annuar, sebaik saja menerima maklum balas atau draf akhir daripada peguam negara, satu memorandum jemaah menteri akan segera disediakan dan KKOM komited untuk membentangkan cadangan pindaan akta 709 dalam sesi parlimen yang akan datang.
Ketika menjawab soalan tambahan berhubung berapa individu yang disabitkan di atas akta 709, Annuar berkata setakat ini, sebanyak 120, 296 data peribadi yang telah terlibat dalam ketirisan ini.
“Walaupun demikian, perlu dijelaskan bahawa yang tertakluk di bawah bidang kuasa KKOM di bawah akta perlindungan data peribadi hanyalah bagi tujuan transaksi kommersil, sementara data di jabatan dan kementerian tidak tertakluk di bawah akta ini,” ujarnya.
Jelas Annuar, pihaknya memandang serius masalah kebocoran data dan gejala scam dan memerlukan beberapa tindakan bukan sahaja terhadap pindaan akta, tetapi juga mewujudkan mekanisme-mekanisme tertentu bagi membantu orang-orang awam menjadi mangsa kegiatan sedemikian.
“Kita sedang membuat penelitian terhadap amalan-amalan beberapa buah negara bagi mengekang perkara ini dan semalam kita telah mengadakan perbincangan untuk melihat beberapa perkara terbaharu yang diamalkan di negara luar seperti Amerika dan Kanada bagi mengatasi masalah scammers dan ketirisan data,” katanya lagi.- HAFIZ HAMZAH