4 OGOS : Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya dipanggil berhubung isu pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur.
“Saya bersama kementerian dan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan hadir jika dipanggil oleh PAC dan sedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi PAC Wong Kah Woh memaklumkan akan memanggil Shahidan, Ketua Setiausaha kementerian itu serta DBKL bagi memberi penjelasan berhubung isu pengurusan mitigasi banjir di ibu negara membabitkan peruntukan bernilai RM329.33 juta, susulan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri Satu, yang dibentangkan di Parlimen.- BERNAMA