5 OGOS : Kontinjen negara kini memerlukan dua lagi pingat emas bagi mencapai sasaran enam emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang sedang berlangsung di sini.
Kejayaan menakjubkan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, menyumbangkan pingat emas di hari ketujuh temasya pada Khamis (4 Ogos), menyaksikan kem Malaysia kini mengutip keseluruhan empat emas, dua perak dan tiga gangsa.
Seperti diramalkan jaguh powerlifting dunia itu tidak berdepan masalah untuk mengungguli kategori lightweight bawah 72 kilogram (kg), sekali gus menyaksikan atlet kelahiran Sarawak tersebut muncul atlet Malaysia pertama meraih emas dalam acara berkenaan di temasya Sukan Komanwel.
Harapan peminat untuk melihat ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong menyumbangkan pingat dalam acara 10 meter (m) platform wanita pada temasya kali ini pula tidak kesampaian, selepas atlet berusia 29 tahun itu hanya menduduki tempat ke-11 daripada 12 penerjun.
Australia terus mendominasi carta pungutan pingat selepas merangkul 50 pingat emas, 42 perak dan 40 gangsa, meninggalkan tuan rumah England di tempat kedua dengan kutipan 42-44-32, manakala Kanada di tangga ketiga hasil pungutan 17-20-22.
Selepas tamat hari ketujuh temasya, Malaysia kini berada di kedudukan ke-10.
Prestasi membanggakan trio boling padang layak ke peringkat separuh akhir acara triples wanita esok, ditagih untuk meneruskan kemaraan ke pentas final yang akan berlangsung pada hari sama bagi menyumbangkan pingat kepada kem negara.
Gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad, akan berdepan gandingan New Zealand Nicole Toomey, Tayla Bruce dan Val Smith di separuh akhir.
Acara final lain yang melibatkan atlet Malaysia pada hari kelapan temasya (5 Ogos) menyaksikan gandingan Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh dan Ooi Tze Liang-Chew Yi We, akan turun beraksi dalam saingan 3m papan anjal seirama lelaki.
Dua gimnas Ng Joe Ee dan Izzah Amzan pula akan bersaing dalam acara individu all-around wanita final esok.- BERNAMA