5 OGOS : Permohonan bagi pengambilan pekerja warga asing dihentikan buat sementara waktu bermula 15 hingga 31 Ogos ini, menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini.
KSM dalam kenyataan memaklumkan ia bagi membolehkan semakan ke atas tatacara permohonan pekerja warga asing dibuat susulan pindaan kepada Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Sept depan.
“Tatacara baharu bagi permohonan pengambilan pekerja warga asing mulai 1 Sept 2022 akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
KSM memaklumkan semua permohonan yang dikemukakan oleh majikan sebelum atau pada 14 Ogos akan diproses dan diselesaikan sebelum atau pada 31 Ogos 2022.
Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang diluluskan di Parlimen pada Mac lepas antaranya melibatkan lanjutan cuti bersalin dari 60 hari kepada 98 hari, sekatan terhadap pemberhentian pekerja yang mengandung serta pengenalan cuti bersalin buat pekerja lelaki yang telah berkahwin.-BERNAMA