6 OGOS : Tiga terbunuh termasuk pasangan warga emas yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-56, selepas dipanah petir di sebuah taman berhampiran Rumah Putih.
Petir melanda Dataran Lafayette, sebuah taman kecil di seberang jalan dari Rumah Putih, sejurus sebelum jam 7 malam (waktu tempatan) Khamis lalu menyebabkan dua lelaki dan dua wanita parah, menurut kenyataan dari Jabatan Bomba dan Kecemasan Washington.
Semua mangsa dibawa ke hospital tempatan tetapi pada pagi Jumaat Polis Metropolitan mengesahkan dua daripada mereka, Donna Mueller, 75, dan James Mueller, 76, dari Janesville di Wisconsin , meninggal dunia.
Pasangan itu adalah pasangan kekasih sekolah menengah dan berada di ibu negara untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka, kata anak saudara mereka Michelle McNett kepada Milwaukee Journal Sentinel.
Semalam, mangsa ketiga, seorang lelaki berusia 29 tahun turut meninggal dunia akibat kecederaannya, kata polis.
Mangsa yang lain masih dalam keadaan kritikal.
Seorang jurucakap Rumah Putih berkata, pentadbiran Joe Biden ‘sedih dengan kehilangan nyawa yang tragis’.
“Kami mendoakan mereka yang masih berjuang untuk hidup mereka,” tambah Setiausaha Akhbar Karine Jean-Pierre dalam satu kenyataan.
Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat dan polis taman bergegas membantu keempat-empat mereka selepas menyaksikan kejadian itu, kata jurucakap jabatan bomba dan perkhidmatan kecemasan Vito Maggiolo dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial.
Mangsa dipercayai mencari perlindungan daripada ribut di bawah salah satu pokok taman itu.
“Pokok bukan tempat yang selamat,” kata Maggiolo kepada Washington Post. “Sesiapa sahaja yang pergi mencari perlindungan di bawah pokok, itu adalah tempat yang sangat berbahaya,” katanya. – AFP