6 OGOS : Israel menggempur Gaza dengan serangan udara semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan mencetuskan serangan roket bertubi-tubi daripada militan di kawasan Palestin.
Keganasan paling teruk di Gaza sejak perang pada Mei tahun lalu menyusul beberapa hari selepas ketegangan tercetus antara Israel dan kumpulan Jihad Islam, yang dituduh oleh Israel merancang serangan.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Gaza menjadi antara yang terbunuh dalam serangan Israel itu, demikian menurut kementerian kesihatan di wilayah itu.
Perdana Menteri Israel, Yair Lapid menyifatkan serangan itu sebagai ‘operasi menentang keganasan yang tepat terhadap ancaman segera’ dan mengumumkan pembunuhan Taysir al-Jabari, yang disifatkannya sebagai komandan kedua Jihad Islam.
Pejuang Jihad Islam berkata, pengeboman Israel itu adalah ‘pengisytiharan perang’, sebelum ia melancarkan ‘tindak balas awal’ dengan menembak lebih 100 roket ke arah Israel.
Ia kemudian mengumumkan satu lagi tembakan roket, ketika siren serangan udara berbunyi di seluruh selatan dan tengah Israel, dan pegawai di Tel Aviv membuka tempat perlindungan bom di bandar itu.
Tiada laporan segera yang diterima mengenai kematian di Israel.
Tentera pada mulanya mengesahkan sekurang-kurangnya 70 pelancaran roket dari Gaza dan 11 roket jatuh di dalam semenanjung itu, manakala puluhan roket dipintas dan yang lain jatuh di kawasan terbuka.
Hamas sudah berperang dengan Israel sebanyak empat kali, sejak ia menguasai Gaza pada 2007, termasuk konflik pada Mei lalu.
Jihad Islam adalah kumpulan yang berasingan, namun selari dengan Hamas.
Peperangan dengan Jihad Islam berlaku pada 2019, berikutan pembunuhan Baha Abu al-Ata oleh Israel, pemimpin sebelum Taysir. – AFP