6 OGOS : Kerajaan sedia mengadakan pilihan raya umum (PRU), sekiranya benar Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mahu menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Ismail Sabri, sekiranya Ahli Parlimen PN menarik balik sokongan terhadapnya, maka pilihan raya perlu diadakan selepas itu.
“Sekiranya semua telah bersedia ke arah pilihan raya, maka lain selain untuk adakan pilihan raya, kerajaan bersedia dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022 di Serdang hari ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, penarikan sokongan terhadap kerajaan mungkin hanya pandangan peribadi dan beliau tidak boleh mengambil sebarang tindakan selagi PN tidak mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Isu ini mungkin hanya satu, dua orang saja yang mengeluarkan kenyataan dan ada dalam kalangan ahli parti berkata, perkara ini tidak dibawa pun ke dalam mesyuarat. Itu mungkin pandangan peribadi.
“Jadi, saya tak boleh ambil tindakan, (tindakan) mesti berdasarkan kenyataan rasmi parti,” jelasnya.
Akhbar semalam melaporkan, pimpinan PN Sabah isu menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri telah dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu minggu lalu, sebagai langkah terakhir jika beliau berterusan tidak mahu menunaikan janjinya dengan PN.
Ia berikutan kepimpinan PN kecewa dengan Ismail selepas pertemuannya dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dibatalkan pada saat-saat akhir.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dilaporkan sebelum itu berkata, pertemuan dengan Hamzah sepatutnya diadakan petang Khamis bagi membincangkan perjanjian berkaitan “terma-terma penting” termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri antara PN dan Naib Presiden UMNO itu sebelum Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri.