7 OGOS : Kerajaan menyedari berlakunya perbezaan harga barangan keperluan yang ketara antara bandar dan pedalaman di enam buah negeri terutamanya di Sarawak.
Berikutan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu melalui Community Drumming atau lebih dikenali sebagai Program Penyeragaman Harga.
Jelasnya, program ini membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan keperluan asas pada harga yang sama di bandar.
“Barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum kegunaan am/bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel.
“Daripada RM200 juta, sebanyak RM125 juta ataupun lebih 62 peratus adalah khusus bagi melaksanakan program ini di Bumi Kenyalang, yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk negeri Sarawak melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching, Sarawak hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kerajaan juga sentiasa mendengar rintihan Keluarga Malaysia berkaitan permasalahan bekalan elektrik.
“Untuk itu, kerajaan telah membina stesen jana kuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak, Baleh Hydroelectric Project (HEP) di pedalaman Kapit yang dijangka siap pada tahun 2025.
“Empangan ini berkapasiti 1,295 MegaWatt (MW) akan dapat menampung permintaan hidroelektrik di kawasan sekitar, selain turut mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan setempat,” katanya.
Kerajaan juga menurut Ismail Sabri lagi, komited dalam menyelesaikan masalah banjir di negara ini dengan peruntukan sebanyak RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun iaitu dari tahun 2023 hingga 2030 di bawah RMKe-12.
Katanya, ini termasuk projek tebatan banjir di negeri ini untukRancangan Tebatan Banjir Sibu (Fasa 3) Lembangan Batang Rajang.
Selain itu, kata Ismail Sabri lagi, bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMKe-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.
Katanya, daripada 409 buah projek pembangunan baharu dan sambungan, sebanyak 111 buah projek kini siap sepenuhnya, 109 buah projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 buah projek berstatus prabina.
“Peruntukan sebanyak RM2.16 bilion juga turut disediakan bagi menampung 361 buah projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif.
“Setakat ini, sebanyak 203 buah projek telah siap, 68 buah projek di peringkat pembinaan manakala bakinya dalam peringkat prabina,” jelasnya.
Kata Perdana Menteri lagi, pembangunan negeri Sarawak sentiasa diutamakan dan ini terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, RMKe-12.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Keluarga Malaysia Sarawak terutamanya Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari di atas perpaduan dan keharmonian yang berjaya dikekalkan di negeri ini.
“Saya juga yakin, sasaran untuk menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030 dapat dicapai di bawah kepimpinan sedia ada hari ini,” katanya.