9 OGOS : Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam berkata pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyerbu rumahnya di Mar-A-Lago di Palm Beach, Florida.
“Selepas saya bekerjasama sepenuhnya dengan agensi kerajaan berkaitan, tindakan melakukan serbuan tanpa amaran seperti ini terhadap rumah saya adalah tidak perlu mahupun wajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Trump tidak menyatakan bila serbuan itu dilakukan selain mengumumkan
Mar-A-Lago “kini diserbu, dipenuhi ramai ejen FBI” selain mendakwa “mereka turut memecahkan peti besi simpanan saya”.
Jabatan Keadilan (DoJ) AS melancarkan siasatan peringkat awal terhadap perbuatan Trump mengeluarkan rekod rasmi presiden dan menyimpannya di rumahnya di Florida, didedahkan April lalu oleh sumber yang mengetahui mengenai isu terbabit.
Siasatan dimulakan selepas Pentadbiran Arkib Negara dan Rekod Kebangsaan AS memaklumkan Kongres Februari lalu bahawa ia menemui kira-kira 25 kotak dokumen Rumah Putih di rumah Trump di Florida, sebahagiannya maklumat rahsia.
Jawatankuasa Rumah Perwakilan AS pada masa itu mengumumkan ia memperluaskan skop siasatan terhadap tindakan Trump dan meminta pihak arkib mengemukakan maklumat tambahan.
Trump sebeum ini mengesahkan beliau bersetuju memulangkan rekod tertentu kepada pihak arkib, sambil menyifatkan perbuatannya sebagai ‘sesuatu yang biasa dan proses rutin’. – REUTERS