9 OGOS : Permeteraian Perjanjian Usahasama (JVA) antara Felda Global Venture (FGV) Holdings Berhad, syarikat Qatar, Baladna dan TOUCH Group Holdings Sdn Bhd (TOUCH) merealisasikan komitmen Malaysia untuk membangunkan projek ladang tenusu integrasi di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya berkata, pembangunan Projek Lembu Tenusu berskala besar di Chuping, Perlis ini melibatkan pelaburan sehingga RM4.5 bilion.
“Ia merangkumi penanaman makanan ternakan lembu tenusu, penghasilan dan pemprosesan susu segar, operasi pembungkusan serta pengedaran produk tenusu.
“Projek ini juga dijangka mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia dan bakal menggalakkan pembangunan industri penghasilan susu segar domestik,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Projek ini juga menurut Ismail Sabri akan meningkatkan tahap sara diri (“SSL”) negara mengeluarkan susu cecair dan segar sekali gus mengurangkan defisit perdagangan makanan negara dan tekanan kos produk tenusu.
Baladna merupakan syarikat pengeluar produk tenusu terbesar Qatar, sudah menjalin memorandum kerjasama (atau MoC) dan menjadi rakan kongsi Felda Global Ventures (FGV) dan FELCRA dalam projek usaha sama ladang tenusu berskala besar di Malaysia.
MoC yang ditandatangani pada tahun 2019 antara Baladna Food Industries dan FELCRA Berhad sebelum ini telah tertangguh selama lebih 4 tahun, akibat COVID-19.