12 OGOS : Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 susulan permintaan domestik yang kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan.
Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyifatkan peningkatan pertumbuhan itu mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.
“Eksport terus disokong oleh permintaan kukuh bagi produk elektrikal dan elektronik (E&E). Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan,” kata BNM.
Menurut bank pusat itu, walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat disebabkan sebahagiannya oleh asas rendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun 2021, pertumbuhan bagi April dan Mei 2022 sebaliknya menunjukkan prestasi yang kukuh.
“Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus berbanding 3.8 peratus pada suku pertama 2022,” katanya.
Bagi suku kedua inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat sebanyak 2.8 peratus dan 2.5 peratus berbanding masing-masing 2.2 peratus dan 1.7 peratus pada suku sebelumnya, mencerminkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam persekitaran kos tinggi dengan kenaikan harga yang didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah serta barangan makanan lain.
Menurut BNM, susulan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus pada separuh pertama 2022, ekonomi Malaysia diunjur terus berkembang bagi tempoh berbaki tahun ini.
Sementara itu, Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata biarpun permintaan luaran mungkin terkesan oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.
“Pertumbuhan akan turut mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerja yang semakin pulih dan peningkatan ketibaan pelancong serta pelaksanaan projek pelaburan bagi berbilang tahun,” katanya.
Dalam pada itu, BNM berkata pertumbuhan Malaysia bagaimanapun terus terdedah kepada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang kian buruk.
“Inflasi keseluruhan diunjur lebih tinggi beberapa bulan akan datang, sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas daripada diskaun ke atas harga elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021. Inflasi teras diunjurkan berpurata lebih tinggi pada tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi.
“Tekanan menaik terhadap inflasi dijangka kekal dibendung, sebahagiannya oleh langkah-langkah kawalan harga sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
“Bagaimanapun, prospek inflasi terus bergantung pada risiko inflasi menjadi semakin tinggi yang berpunca daripada kekukuhan permintaan dalam negeri, perkembangan harga global dan langkah-langkah dasar dalam negara,” kata BNM.
Menyentuh prestasi ringgit, bank pusat itu berkata unit tempatan tersebut susut nilai sebanyak 4.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2022 (sejak awal tahun hingga 10 Ogos 2022: -6.3 peratus) yang secara umumnya sejajar dengan pergerakan mata wang serantau (suku kedua 2022: -4.7 peratus sejak awal tahun setakat tahun ini: -5.8 peratus).
Sebahagian besar keadaan itu mencerminkan pengukuhan berterusan dolar AS berikutan dasar monetari AS yang diperketat secara agresif, peningkatan usaha pelabur mengelak risiko akibat prospek pertumbuhan global yang lebih lemah serta konflik ketenteraan di Ukraine.
“Bagaimanapun, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit akibat perkembangan luaran pada suku itu.
“Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik terus bergantung pada beberapa tempoh ketidaktentuan yang ketara, limpahan terhadap pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat terus dibendung secara keseluruhannya, disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang mantap,” katanya.
Selain itu, bagi suku kedua 2022, pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat sebanyak 4.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku pertama dalam keadaan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (5.4 peratus; suku pertama 2022: 4.4 peratus).
Pertumbuhan bon korporat terkumpul juga menjadi sederhana (3.4 peratus; suku pertama 2022: 4.6 peratus) apabila pertumbuhan penebusan bon terus mengatasi pertumbuhan terbitannya.
Menurut bank pusat itu, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 5.5 peratus (suku pertama 2022: 4.3 peratus) berikutan pengembangan kukuh pengeluaran pinjaman untuk modal kerja dan pelaburan.
“Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul terus meningkat (5.7 peratus; suku pertama 2022: 4.8 peratus), dengan pertumbuhan lebih tinggi dicatatkan merentas semua tujuan pinjaman. Pengeluaran pinjaman kekal mantap berikutan permintaan pinjaman yang kukuh, khususnya bagi pembelian kereta dan rumah,” kata BNM.
Secara keseluruhannya, BNM berkata bayaran balik pinjaman masing-masing bagi segmen perniagaan dan isi rumah adalah menggalakkan apabila berakhirnya program bantuan bayaran balik pinjaman dan pembukaan semula ekonomi negara.- BERNAMA