12 OGOS : Seorang lelaki bersenjata yang melarikan diri selepas cuba menceroboh pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Ohio, Amerika Syarikat (AS) mati tidak lama kemudian ketika berbalas tembakan dengan polis.
Kes itu menarik perhatian seluruh negara kerana ia berlaku hanya beberapa hari selepas FBI memeriksa kediaman bekas Presiden AS, Donald Trump, di Florida, yang mencetuskan kemarahan penyokong berhaluan kanan.
Namun, tiada bukti menunjukkan kedua-duanya ada kaitan setakat ini.
Menurut FBI, seorang lelaki bersenjata yang memakai perisai badan cuba ‘menceroboh’ pintu masuk ke pejabat FBI di Cincinnati, Ohio, pagi semalam.
“Selepas penggera diaktifkan dan ejen khas FBI yang bersenjata dikerah mengawal keadaan, suspek melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Media tempatan melaporkan, suspek melepaskan tembakan menggunakan pistol paku dan mengacukan raifal seperti AR-15 sebelum melarikan diri menggunakan kereta.
Jurucakap polis berkata, pihak berkuasa kemudian mengejar kereta suspek sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan luar bandar.
“Selepas kereta itu berhenti, suspek dan pihak berkuasa di lokasi terus berbalas tembakan, pihak berkuasa cuba berunding dengan suspek, namun lelaki itu enggan menyerah diri,” katanya.
Selepas suspek mengacukan senjata ke arah polis, pihak berkuasa terus melepaskan tembakan ke arahnya, menyebabkan lelaki itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.
Kelmarin, Pengarah FBI, Christopher Wray, menyelar ancaman terhadap FBI susulan serbuan di kediaman Trump, dan menyifatkannya sebagai tindakan buruk lagi berbahaya.
Media AS melaporkan, siasatan di kediaman Trump itu berkait dengan kemungkinan salah urus dokumen sulit Kerajaan Persekutuan yang dihantar ke Mar-a-Lago selepas Trump meninggalkan Rumah Putih pada Januari tahun lalu. – AFP