12 OGOS : Tindakan tegas akan dikenakan terhadap wanita yang menunaikan umrah memakai ihram lelaki, demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Katanya menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya, beliau memandang serius isu yang tular itu memandangkan ia melibatkan hukum hakam agama.
“Saya mengambil berat perkara yang telah ditular dakwaan yang melaporkan seorang yang wanita yang mengerjakan umrah, namun berpakaian ihram lelaki. Isu ini melibatkan hukum hakam agama. Tindakan tegas akan dikenakan.
“Pihak saya telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN). Saya memohon pihak KDN untuk membuat siasatan lanjut setibanya individu tersebut di Malaysia nanti,” katanya dalam kenyataan itu.
Idris turut menghubungi MOTAC agar agensi umrah yang menguruskan umrah wanita itu juga dikenakan tindakan.
“Saya juga telah menghubungi pihak MOTAC untuk memastikan jika perkara ini benar, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada agensi yang menguruskan individu tersebut,” ujarnya.