13 OGOS : Kes baharu COVID-19 semalam menurun hampir seribu kes apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 3,942 kes berbanding 4,831 kes pada hari sebelumnya.
Angka kes jangkitan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 4.69 juta sejak pandemik melanda negara dan menjadikan angka kes aktif meningkat kepada 45,375 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Menerusi data laman web COVIDNOW, seramai 43,701 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah, di mana 1,577 menerima rawatan di hospital, 66 daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 31 individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Seramai 45 pesakit pula memerlukan alat bantuan pernafasan manakala jumlah kes sembuh yang dicatatkan adalah 4,645 kes.
Dalam pada itu sebanyak empat kes kematian turut dilaporkan dengan satu kes di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini seramai 36,070 orang.