13 OGOS : Penulis kontroversi Salman Rushdie, cedera selepas ditikam di atas pentas di sebuah acara di Institut Chautauqua, New York, semalam.
Menurut Polis New York, suspek berkenaan yang adalah seorang lelaki, telah meluru ke atas pentas dan menyerang Rushdie serta seorang lagi individu.
Berikutan serangan itu, dia telah mengalami kecederaan di bahagian leher akibat tikaman terbabit.
Rushdie, 75, kemudiannya dibawa ke hospital dengan sebuah helikopter sejurus serangan yang berlaku sekitar jam 11 pagi (waktu tempatan), kata Mejar Eugene Staniszewski dari polis negeri New York kepada wartawan.
Polis tidak memberikan butiran mengenai keadaan penulis kontroversi itu selain dia masih dalam pembedahan.
Mereka mengenal pasti suspek yang ditahan sebagai Hadi Matar, 24, dari Fairfield, New Jersey.
Kemungkinan motif serangan masih tidak jelas.
Polis berkata, Rushdie ditikam di leher serta perut.
Sebilangan orang bergegas ke pentas dan menangkap suspek, sebelum seorang anggota tentera yang hadir pada acara itu menahannya.
Rushdie sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh kerana penulisan bukunya yang menghina kitab suci Al-Quran.
Buku kontroversi itu telah diharamkan di beberapa buah negara, termasuk fatwa hukuman bunuh terhadapnya turut dikeluarkan pemimpin Iran, Ayatollah Khomeini pada 1998. – AFP