13 OGOS : Tindakan mencederakan pelajar yang sedang menuntut ilmu di madrasah tahfiz merupakan tindakan yang tidak boleh diterima akal, demikian tegas Ahli Parlimen Kuala Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau menegaskan, tidak ada kompromi dengan tindakan sebegitu dan mahu mereka yang terbabit mendapat hukuman yang setimpal.
“Semalam juga saya dah minta pihak polis buat siasatan terperinci. Mencederakan anak-anak yang sedang menuntut ilmu, di madrasah, tanpa ada rasa hormat, bagi saya perkara sebegini langsung tak boleh diterima akal.
“Tiada kompromi dalam isu ini, saya akan pastikan si pelaku mendapat hukuman setimpal. Untuk makluman, semua kelima-lima pelaku telahpun ditangkap dan akan dituduh dalam masa terdekat.
“Saya tidak akan sesekali memberi ruang kepada tindakan yang menyalahi etika kemanusiaan dan undang-undang. Lebih-lebih lagi berlaku di Lipis. Orang Lepeh baik-baik belaka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Semalam, madrasah tahfiz Maahad Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah Kg Tempoyang, Kuala Lipis, Pahang telah diserang oleh lima individu hanya kerana tidak berpuas hati dengan isu bayaran makanan.
Dalam kejadian yang tular di media sosial itu, seorang pelajar tahfiz cedera ringan manakala guru tahfiz berkenaan cedera di mata dan menerima empat jahitan.
Abdul Rahman turut menyumbang sebanyak RM10,000 kepada sekolah tahfiz tersebut sebagai penguat semangat untuk kembali bangkit setelah apa yang yang berlaku.
“Jangan patah semangat, dalam kita usaha untuk bangunkan tahfiz. Ini perjuangan kita untuk agama. Saya percaya semua yang beragama Islam juga merasakan yang sama. Semoga Allah merahmati dan melindungi perjuangan ini,” ujarnya.