15 OGOS : Sebuah gereja di bandar Giza yang dipenuhi penganut Kristian Koptik terbakar mengorbankan 41 orang termasuk 15 kanak-kanak, semalam.
Menurut saksi, beberapa individu yang terperangkap di bahagian atas gereja Abu Sefein terpaksa melompat keluar dari bangunan itu bagi menyelamatkan diri.
Dalam tragedi itu, 16 orang cedera termasuk empat anggota polis yang terbabit dalam operasi menyelamat.
Polis dalam satu kenyataan memaklumkan, punca sebenar kebakaran gereja yang terletak di kawasan Imbaba itu masih belum diketahui, namun siasatan awal menunjukkan kemungkinan berlaku litar pintas pada pendingi hawa.
Difahamkan, mayat 20 mangsa termasuk 10 kanak-kanak dibawa ke hospital awam Imbaba.
Antara yang terkorban adalah pasangan kembar berusia lima tahun dan adik mereka berusia tiga tahun serta paderi gereja berkenaan, Abdul Masih Bakhit.
Pejabat Presiden memaklumkan, Presiden Abdel Fattah el-Sissi, menzahirkan ucapan takziah kepada Paus Kristian Koptik, Tawadros II.
“Saya mengikuti rapat perkembangan kemalangan penuh tragis ini,” tulis el-Sissi menerusi perkongsian di Facebook.
Malah, Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb, turut merakamkan ucapan takziah kepada pemimpin gereja Koptik.
Sementara itu, Ketua Pendakwa Raya, Hamada el-Sawy, mengarahkan pasukan penyiasat dan pendakwa raya ke lokasi kejadian.