Iran nafi terlibat serangan terhadap Salman Rushdie
15 OGOS : Seorang pegawai kerajaan Iran menafikan bahawa Tehran terbabit dalam serangan yang mencederakan penulis kontroversi, Salman Rushdie.
Kenyataan dibuat Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani, itu adalah kenyataan umum pertama negara itu sejak penulis novel ‘The Staanic Verses’ itu cedera ditikam di atas pentas di sebuah acara di Institut Chautauqua di New York, pada 12 Ogos lalu.
“Kami, dalam insiden serangan ke atas Salman Rushdie di AS (Amerika Syarikat), tidak menganggap sesiapa pun patut dipersalahkan dan dituduh kecuali dia (Salman) dan penyokongnya.
“Tiada sesiapa yang berhak menuduh Iran dalam hal ini,” katanya dalam satu taklimat kepada wartawan.
Rushdie, penulis kelahiran India hidup dalam ‘buruan’ epalanya sejak penerbitan novel ‘The Satanic Verses’ pada 1988 yang dilihat sebilangan umat Islam sebagai mengandungi petikan yang menghina.
Pada 1989, Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini, mengeluarkan fatwa, menyeru umat Islam membunuh penulis novel itu dan sesiapa sahaja yang terbabit dalam penerbitan buku berkenaan.
Kerajaan Iran berkata, pada 1998 ia tidak lagi menyokong fatwa itu dan Rushdie hidup terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Kanaani berkata, Salman Rushdie mendedahkan dirinya kepada kemarahan rakyat dengan menghina kesucian Islam dan melintasi ‘garis merah’ 1.5 bilion umat Islam.
Beliau turut menyatakan, Iran tidak mempunyai maklumat lain mengenai penyerang Rushdie kecuali apa yang dipaparkan dalam media.