15 OGOS : Siasatan polis mendapati tiada sebarang elemen gengsterisme dipercayai wujud dalam kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Kuantan, Pahang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mengesahkan perkara itu berdasarkan siasatan awal polis berhubung laporan dibuat ibu pelajar terbabit.
Beliau berkata pihaknya menerima dua laporan daripada ibu mangsa dan warden MSRM berhubung kes itu sepertimana yang dilaporkan akhbar sebelum ini.
Wan Mohd Zahari memaklumkan bahawa polis membuat siasatan susulan catatan berkaitan kes itu dimuat naik pemilik akaun Facebook Nazrah Mohamed.
“Kita sudah merakam percakapan mereka yang terlibat seperti guru-guru, pelajar-pelajar MSRM termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu. Jadi, siasatan awal juga mendapati tidak wujud sebarang unsur gengsterisme dalam kejadian ini dan Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan akibat perbuatan khianat” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang hantaran dan perkongsian yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, wanita yang dipercayai ibu mangsa mendakwa menerusi akaun Facebook bahawa baju sekolah anaknya diconteng dan rambut digunting ketika tidur.
Beliau mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di sekolah itu dan tiada sebarang tindakan diambil pihak pengurusan sekolah berhubung kes itu.