16 OGOS : Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan akan membawa sendiri cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Menurut Hishammuddin, perkara tersebut merupakan tanggungjawabnya untuk membawa cadangan penubuhan RCI projek LCS itu ke kabinet
“Ini tanggungjawab saya untuk bawa ke Kabinet esok dan saya akan lakukan. Kabinet juga perlu persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai penubuhan sesuatu RCI,” katanya ketika menggulung perbahasan usul berkaitan isu itu di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan beberapa Ahli Dewan Negara hari ini yang menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat isu LCS bagi meneliti segala aspek agar tidak ada pihak yang bersalah terlepas daripada dakwaan.
Hishammudin juga berkata berdasarkan keputusan Kabinet pada April lepas, Kementerian Pertahanan (Mindef) akan meneruskan projek LCS bagi kepentingan TLDM dalam perancangan melihat masa hadapan isu LCS tersebut.