16 OGOS : Semenjak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih pentadbiran negara, memperlihatkan beberapa pembaharuan politik yang radikal telah beliau laksanakan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, amat mudah untuk rakyat bersikap sinis kepada pemimpin negara, namun janganlah sehingga tidak lagi objektif dan gagal bersifat rasional.
Katanya, Perdana Menteri mesti diberi ruang untuk menguruskan negara dengan caranya tersendiri.
“Benar rakyat gelisah dengan kenaikan harga barang dan inflasi yang meningkat. Ini bukan isu yang berlaku di Malaysia sahaja. Ia adalah fenomena global akibat dari ‘multifacated’ elemen yang di luar kawalan Kerajaan.
“Kita mesti mengiktiraf keputusan Kerajaan dalam usaha memastikan kos sara hidup tidak begitu membebankan.
“Bukanlah mudah untuk Kerajaan memutuskan hampir RM80 billion dibelanjakan untuk membiayai subsidi pelbagai komoditi dan barangan keperluan rakyat bagi tahun ini.
“Ia hampir sepertiga dari perolehan negara. Jumlah yang sangat besar ini bermakna kita terpaksa mengorbankan banyak keperluan pembangunan yang sangat diperlukan,” ” kataya menerusi satu catatan di Facebook miliknya.
Kata Khaled lagi, begitu juga keputusan Perdana Menteri menghapuskan AP bagi import bahan makanan.
Jelasnya, langkah itu sangat berani dan tepat bagi mengatasi segala masalah kecukupan makanan yang dihadapi negara, apatah lagi isu AP seperti suatu ‘sumpahan’ yang semua orang ingin menghindari dari menyentuhnya selama ini.
“Selain itu, penting untuk kita menghargai kejayaan beliau membenteras kecurangan politik dengan lulusnya RUU Anti Lompat Parti.
“Kejayaan ini sangat istimewa kerana setelah begitu lama, ia boleh diselesaikan dalam hanya setahun pentadbiran beliau.
“Sekarang Kerajaan beliau sedang mempercepatkan RUU Pendanaan Politik. Semua ini adalah perkara yang tidak mungkin terjadi tanpa kemahuan politik dan kepimpinan yang fokus,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, tambah Khaled, komitmen Ismail Sabri untuk memastikan laporan Jawatankuasa Khas Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan Kerajaan dan Kewangan mengenai perolehan enam kapal LCS dinyah klasifikasikan dan di dedahkan kepada umum, wajar diberi pengiktirafan.
“Beliau jelas bersungguh untuk menanggani masalah LCS ini dengan telus dan mengikut lunas undang-undang.
“Sesungguhnya bukanlah mudah mengemudi negara dalam keadaan yang sangat mencabar sebegini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” katanya.