17 OGOS : Belia India kini lebih cenderung menyokong Barisan Nasional (BN) selepas menyedari tiada lagi harapan boleh disandarkan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang pernah memerintah negara selama 22 bulan.
Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy berkata negara terpaksa berdepan dengan permainan politik PH sepanjang masa yang membuka mata rakyat termasuk golongan belia.
“Apabila kita berkampung di Melaka dan Johor (Pilihan Raya Negeri) saya dapati belia yang sokong PH sebelum ini sudah beralih arah kerana mereka kata PH tiada harapan lagi.
Apa yang dijanjikan tidak ditunaikan langsung. Kosong.
“Malah belia Cina juga, bukan majoriti tapi ada perubahan sokongan. Mereka dah faham bahawa PH memang tak boleh dipercayai. Jadi mereka pilih sokong BN lebih-lebih lagi sekarang BN ada perubahan.
“Ibu bapa pun sekarang sudah ‘tone down’, mereka lebih pilih untuk kembali sokong BN kerana negara porak-peranda (semasa PH memerintah). Terlalu banyak politik…tukar perdana menteri, semua orang nak cakap pasal politik. Masa BN tidak begini,” katanya kepada BBC Portal.
Beliau juga tidak menolak bahawamahasiswa di universiti agak takut untuk mendekati atau didekati parti politik.
“Betul, belia takut nak dekati parti politik. Apabila saya bercakap dengan pelajar universiti mereka memang atas pagar sebab mereka takut. Tapi selepas kenali kita, baru mereka tahu pemimpin pemuda BN itu mudah didekati.
“Saya yakin kali ini BN akan buat perubahan besar-besaran dengan mengetengahkan pemimpin-pemimpin yang bukan sahaja muda tapi yang mudah didekati,” katanya.
Katanya, mendekati golongan belia juga tidak boleh lagi menggunakan kaedah lapuk sebaliknya BN perlu menggunakan cara orang muda itu sendiri untuk menarik sokongan.
“Tak boleh guna cara lama dalam berkempen lagi, ceramah itu semua pemuda tak suka. Nak tarik (sokongan) mereka (belia) kita tak boleh guna cara kita tapi kena guna cara mereka.
“Apa kehendak mereka, apa yang mereka suka? Tangani itu dan kita tak perlu tarik pun mereka akan datang sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang bergiat aktif mendekati golongan belia terutama mahasiswa di universiti berkata, melalui program-program yang dijalankan beliau dapat menjawab pelbagai persoalan dibangkitkan.
“Saya sudah mulakan program di mana saya berjumpa dengan belia melalui Persatuan Bahasa Tamil.
“Saya ada sesi perbincangan dengan mereka di mana pemuda pemudi ini banyak pertanyaan yang dekat dengan diri mereka termasuk hal berkaitan peluang pekerjaan dan bantuan pelajaran malah mereka juga beri pandangan kepada saya,” katanya. –Oleh NUR EISYA