18 OGOS : Seramai 23 orang terkorban dalam kemalangan bas di timur ibu negara Maghribi, Casablanca menjadikan tragedi itu salah satu antara kemalangan yang tertinggi kehilangan nyawa yang pernah dicatatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengarah Kesihatan Wilayah, Rochdi Kaddar mengesahkan 23 orang terkorban, manakala 36 orang lagi cedera dalam nahas itu apabila bas berkenaan terbalik di selekoh lebuh raya di wilayah Khouribga pada waktu pagi.
Bas tersebut dilaporkan dalam perjalanan dari Casablanca ke kawasan luar bandar, Ait Attab berhampiran bandar Beni Mellal di kaki pergunungan High Atlas.
Mereka yang cedera dibawa ke hospital di Khouribga dan kertas siasatan sudah dibuka berhubung kemalangan itu.
Kemalangan jalan raya, selalunya membawa maut, agak kerap berlaku di Maghribi dan negara di Afrika Utara yang lain.
Purata 3,500 kematian dan 12,000 kecederaan direkodkan setiap tahun di Maghribi, menurut Agensi Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, dengan purata 10 kematian setiap hari.