18 OGOS : PAS melihat terdapat sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen berpotensi dimenangi PH jika tidak wujud persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Justeru, Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerana itu PAS berpandangan bahawa perlunya ada kerjasama menyeluruh antara PN dan BN.
“Tetapi Pas bersedia, kalau sekiranya BN buat keputusan sebagaimana yang telah diumum sebelum ini, kami bersedia untuk berlawan (dengan BN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Himpunan 5K dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Melaka di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan Pas Melaka di Semabok di sini malam tadi.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan berkata BN kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Mohd Zuhdi Marzuki dipetik sebagai berkata PH berpotensi menang besar pada PRU15 ini berikutan terdapat 27 kerusi berisiko besar jatuh ke tangan PH jika tiada perpaduan antara BN dan PN.
Mengulas mengenai penggunaan logo yang akan digunakan parti itu pada PRU15 nanti, Tuan Ibrahim berkata secara prinsipnya Pas akan menggunakan logo PN dan akan membincangkannya secara spesifik.
“Tentang logo, ada permintaan yang parti terima daripada negeri pantai timur khususnya yang mereka mencadangkan penggunaan logo parti, tapi ini perlu dibincang dan diperhalusi di peringkat kepimpinan parti,” katanya.