19 OGOS : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Hagia Sophia di sini, sempena Lawatan Negara ke Turkiye.
Keberangkatan tiba Seri Paduka pada jam 12.25 tengah hari (waktu tempatan) diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan disambut oleh Ketua Agama Turkiye, Prof Dr Ali Erbas.
Turut mengiringi Seri Paduka ialah Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay.
Al-Sultan Abdullah kemudian berangkat ke ruang solat utama untuk menunaikan solat sunat dua rakaat.
Imam Masjid Hagia Sophia Bunyamin Topcuoglu menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Youth Heralded With Protection In The Shade Of The Throne.’
Masjid yang berusia lebih 1,500 tahun itu telah disenaraikan sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1985.
Hagia Sophia, monumen ikonik ketamadunan di Turkiye, bermaksud kebijaksanaan yang suci dan mulia.
Masjid itu pernah berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul yang menyaksikan ia ditukar menjadi masjid dari 1453 hingga 1934 sebelum dijadikan muzium pada 1930 hingga 1935.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dianggap sebagai pemimpin paling berani apabila bertegas mahukan Hagia Sophia kembali dihidupkan sebagai masjid.
Pada 6 Mei lalu, Al-Sultan Abdullah menyifatkan pembukaan Hagia Sophia untuk ibadah solat sunat tarawih bermula 1 April 2022 sebagai detik bersejarah kepada penduduk beragama Islam di Turkiye dan seluruh dunia.
Seri Paduka menyatakan perkara itu ketika menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Erdogan dan merakamkan ucapan tahniah atas pembukaan Hagia Sophia sebagai masjid buat pertama kalinya dalam tempoh 88 tahun.