21 OGOS : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan tiada campur tangan terhadap badan kehakiman wajar dicontohi bakal perdana menteri selepas ini.
Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata ketegasan itu merupakan satu komitmen yang patut dihargai semua pihak memandangkan ia merupakan prinsip penting bagi memastikan institusi kehakiman bebas daripada campur tangan eksekutif.
“Terutama dalam situasi negara berdepan dengan proses pengadilan bekas-bekas pemimpin kerajaan yang mempunyai latar belakang parti yang sama dengan perdana menteri, jadi penegasan yang dinyatakan itu merupakan satu komitmen menggambarkan kesungguhan beliau untuk memastikan proses keadilan dilaksanakan dengan lancar tanpa gangguan mana-mana pihak.
“Kita harapkan mana-mana pemimpin yang memimpin negara selepas ini akan terus berpegang dengan prinsip kebebasan kehakiman terutamanya jika berlaku perubahan dalam tampuk pemerintahan negara selepas pilihan raya umum akan datang.
“Jadi setiap perdana menteri yang memimpin kerajaan perlu memastikan bahawa aspek keadilan itu sentiasa diutamakan berbanding kepentingan politik atau peribadi,” katanya kepada BBC Portal.
Jun lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan tiada siapa pun di negara ini yang boleh mengatasi undang-undang dan pihak berkuasa bebas menjalankan siasatan sekiranya terdapat dakwaan berlaku ketidakpatuhan atau perlanggaran undang-undang.
Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang pada September tahun lalu dilihat membuka pintu kestabilan politik meskipun struktur politik negara masih belum kukuh.
“Dengan kerjasama itu, kita dapati sokongan diberi dalam Parlimen bersifat menyeluruh yang merentasi parti politik. Contohnya dalam RUU (rang undang-undang) anti lompat parti, seramai 209 daripada keseluruhan ahli Parlimen menyokong RUU tersebut menggambarkan bahawa kesepakatan ini suatu perkara yang amat baik dan bagi saya kejayaan ini satu kejayaan rakyat.
“Ini satu manifestasi yang sangat baik dan satu kejayaan kerjasama politik di negara kita walaupun struktur politik kita masih tidak terlalu stabil tapi in dapat mengurangkan keretakan yang berlaku dalam kalangan ahli politik,” katanya.
Tambahnya, melalui perjanjian persefahaman BN-PH itu dapat dipelajari bahawa apabila parti-parti politik bersedia bekerjasama ke arah kebaikan ia memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata semasa pemerintahan Ismail Sabri juga, isu teknikal berkait Undi18 dan pendaftaran pengundi baharu secara automatik berjaya diselesaikan sebelum akhirnya diimplementasikan.
“Kita juga lihat pengubahsuaian proses pilihan raya yang mana kita tahu Undi18 ini diluluskan beberapa tahun lepas tapi terdapat halangan-halangan perundangan berbentuk teknikal menyebabkan pelaksanaannya agak lambat.
“Dalam tempoh pentadbiran setahun, beliau akhirnya proses itu berjaya dilaksanakan. Ini juga serentak dengan sistem baharu iaitu pendaftaran automatik pengundi. Kedua-dua pembaharuan sistem pilihan raya ini amat penting bagi memastikan penglibatan pengundi dalam negara akan meningkat,” katanya. Oleh NUR EISYA