22 OGOS : Alasan bimbang Parlimen akan tergantung bagi menghalang diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) hanyalah sekadar mitos politik semasa yang menceritakan perkara yang kurang benar, malah boleh dibuktikan sebaliknya, demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya menerusi satu kenyataan hari ini, Profesor Sains Politik dan Demokrasi tersohor, Dr Wong Chin Huat telah pun memberikan pencerahan mengenai isu Parlimen tergantung pada Simposium Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Profesor itu menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku ‘hung Parliament’ atau Parlimen tergantung.
“Keadaan ini bukanlah situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu, malah tidaklah menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perlu ada pemahaman politik komparatif yang lebih dalam sistem politik.
Katanya, Kerajaan New Zealand pada 1996-2020 terbentuk daripada Parlimen tergantung yang mana negara itu kini tetap maju dan stabil.
“Autoriti pencerahan oleh Profesor Sains Politik itu mampu memberikan pencerahan dan membuka mata hati pemahaman mitos politik semasa.
“Justeru, janganlah menggunakan alasan takut Parlimen tergantung seperti cuba dikhabarkan bagi menghalang PRU diadakan,” katanya.