22 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai program Munajat Keluarga Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Masjid Putra, Putrajaya semalam bersempena setahun beliau menjadi Perdana Menteri.
Beliau menzahirkan ucapan syukur dapat bersama dengan ribuan jemaah dalam program tersebut.
“Alhamdulillah, saya dapat bersama-sama lebih 7000 jemaah mengimarahkan Munajat Keluarga Malaysia malam tadi.
“Terima kasih Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) atas anjuran, dan Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid atas pimpinan munajat yang menyentuh hati.
“Segala puji syukur saya panjatkan kepada Allah SWT. Ya Allah, Engkau berkatilah tanah air ini dan limpahkanlah rahmat dan keselamatan ke atas kami, penghuni-penghuni negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas di Facebook miliknya hari ini.
Ismail Sabri tiba di Masjid Putra kira-kira 8.24 malam semalam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad. Turut serta ialah beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa serta Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.
Solat Isyak diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali manakala solat hajat pula diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah, disusuli bacaan zikir munajat dan qasidah dipimpin secara bersama oleh beberapa selebriti terkenal seperti Munif Ahmad.
Pendakwah bebas Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid pula menyampaikan tausiah manakala bacaan doa Keluarga Malaysia dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Program Munajat Keluarga Malaysia itu dijalankan serentak di enam lokasi iaitu Putrajaya, Kedah, Pahang, Sabah, Sarawak dan Johor.
Sementara itu, Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan kepada 20 buah pusat tahfiz, pondok, institusi kebajikan dan rumah anak-anak yatim dalam program tersebut.
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos 2021.