22 OGOS : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dijangka akan mengadakan pertemuan dengan pemain penting dalam industri kanabis dan ketum di Thailand dalam lawatan kerja bilateral kesihatan ke negara itu hari ini.
Menerusi satu kenyataaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, Khairy akan turut mengunjungi Cannabis Land bagi melihat kaedah penanaman di dalam dan luar premis, rumah hijau dan bilik pengeringan dalam lawatan kerja itu.
“Dalam rangka lawatan kerja rasmi tersebut, beliau akan membuat lawatan ke Pejabat Farmaseutikal Kerajaan (GPO) untuk diberikan taklimat mengenai dasar kanabis di negara itu termasuklah amalan, kaedah penanaman, kajian serta penggunaan kanabis dan ketum bagi tujuan kesihatan di Thailand,” kata KKM dalam kenyataan tersebut.
Kunjungan Khairy ke negara jiran itu bagi memenuhi jemputan rakan sejawatannya, Anutin Charnvirakul yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand.
Khairy dan delegasi juga juga dijangka akan melawat Bumrungrad International Hospital dan Institut Psikiatri Somdet Chaopraya bagi melihat perkhidmatan kesihatan mental dan kaedah rawatan yang diberikan kepada pesakit.
Julai lalu, Khairy memaklumkan, satu rangka kerja berhubung pendaftaran produk cannabidiol (CBD) tertentu akan diumumkan.
“Melalui lawatan bilateral ini, KKM berpeluang meneroka potensi penggunaan kanabis dan ketum dalam bidang kesihatan serta merangka strategi kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaannya,” jelas KKM lagi.
Selain itu, lawatan itu juga akan membuka peluang kolaborasi peringkat antarabangsa untuk mana-mana entiti swasta atau penyelidikan menjalankan kajian dan ujian klinikal ke atas kanabis atau ketum, membangunkan inovasi perubatan dan seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Malaysia.
“Thailand merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang memberi kelonggaran undang-undang dan membenarkan kanabis untuk digunakan bagi tujuan perubatan.
“Lawatan bilateral kesihatan ini juga akan menjadi platform terbaik KKM untuk pendedahan dan penelitian berhubung kajian-kajian antarabangsa berkaitan kanabis atau ketum termasuk hasil dapatan ujian-ujian klinikal kanabis untuk tujuan kesihatan,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Khairy juga dijadual menghadiri Mesyuarat Peringkat Tertinggi Kesihatan dan Ekonomi (HLME) APEC pada Khamis sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
“Komitmen Malaysia memenuhi jemputan lawatan rasmi bilateral kesihatan berhubung penggunaan kanabis dan ketum bagi tujuan kesihatan serta menghadiri mesyuarat HLMHE APEC membuktikan Malaysia adalah konsisten dan komited dalam setiap kerjasama di peringkat antarabangsa,” tambah KKM.