22 OGOS : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam melakukan sumpah mubahalah buat kali ketiga di Masjid Kampung Baru menjelang prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan pada Selasa ini.
Najib melafazkan sumpah berkenaan selepas selesai solat hajat dan doa munajat disaksikan oleh jemaah masjid berkenaan.
Najib di dalam sumpah mubahalah itu mengulangi penafian beliau terbabit dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) atau mengarahkan mana-mana anggota atau pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akuan bank aku untuk apa-apa tujuan pun.
“Aku, Mohd Najib bin Abdul Razak setelah berjuang untuk mendapat keadilan ke atas diri di dunia ini, dengan ini aku melafazkan ucapan mubahalah ku.
“Sejak aku diberikan amanah memimpin negara Malaysia sehingga kini aku tidak pernah, pertama, pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung.
“Aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkul apa-apa dana SRC bagi tujuan kegunaan peribadi ku atau tujuan kegunaan keluarga ku.
“Sekiranya aku berdusta di atas sumpah ku ini, ya Allah, maka ya Allah halallah laknat ke atas diriku. Sebaliknya jika semua ini fitnah yang telah dirancang oleh musuh-musuh politik ku, maka ya Allah aku bermohon sesungguhnya kepada Mu agar engkau laknatilah mereka, serta orang-orang yang bersubahat dan bersekongkol dengan mereka,” katanya dalam sumpah tersebut.
Dalam sumpahnya itu, Najib juga mendakwa beliau tidak terlibat dalam mesyuarat kabinet bagi meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) sebanyak RM4 billion kepada syarikat SRC untuk tujuan mendapatkan habuan haram.
Najib tiba bersama anak lelakinya Nor Ashman, pada jam 8.20 malam sebelum disertai Datin Rosmah Mansor 20 minit kemudian.
Antara pemimpin yang hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Untuk rekod, Najib pada 28 Julai 2020 telah melakukan sumpah mubahalah berhubung kes SRC bagi menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai RM42 juta yang disalurkan ke akaunnya.
Ahli Parlimen Pekan itu kemudiannya sekali lagi melafazkan sumpah laknat itu setahun kemudian pada 8 Disember 2021 secara dalam talian bagi menyatakan tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International.
Najib mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah pada 28 Julai 2020.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan untuk ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.