24 OGOS : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan draf penghakiman dalam tiga rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bocor semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya setakat ini merakam percakapan pengadu iaitu pihak Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah serta pegawai komunikasi korporat.
Katanya, setakat ini, pihaknya menerima dua laporan yang dibuat di daerah tersebut.
“Keterangan beberapa lagi orang akan diambil bagi membantu siasatan. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Terdahulu, A. Asmadi dilaporkan berkata, pihaknya telah membuka siasatan berhubung kebocoran draf penghakiman dalam tiga rayuan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu yang dimuat naik sebuah portal.
Ini susulan laporan dibuat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah berkaitan draf yang dimuat naik sebuah portal.- UTUSAN ONLINE