24 OGOS : Tiupan angin lemah dan pelbagai hala dijangka melanda negara bermula 27 hingga 30 Ogos ini yang berpotensi menyebabkan pembentukan awan ribut petir, terutama pada sebelah petang hingga malam.
Menerusi satu kenyataan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini berkata, memaklumkan antara kawasan terbabit ialah negeri di Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, Sarawak (tengah dan utara), barat Sabah serta Labuan.
Menurut kenyataan itu, fenomena berkenaan dikesan berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca METMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMRWF) serta Sistem Ramalan Global (GFS).
METMalaysia sekali gus menasihati orang awam supaya sentiasa merujuk laman sesawang: www.met.gov.my dan semua media sosial agensi itu serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.