26 OGOS : Pakistan mengisytiharkan darurat dalam usahanya menangani banjir monsun susulan hujan lebat melanda beberapa bahagian yang sehingga kini mengakibatkan lebih empat juta orang terjejas.
Meskipun monsun tahunan penting bagi mengairi tanaman dan menambahkan kapasiti tasik serta empangan di seluruh Pakistan, saban tahun ia turut membawa gelombang kemusnahan.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) negara itu hari ini memaklumkan lebih 900 orang terkorban tahun ini termasuk 34 terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu, disebabkan hujan monsun yang bermula sejak Jun lalu.
Menurut pegawainya, banjir tahun ini setanding banjir 2010, bencana terburuk dalam rekod, dengan lebih 2,000 orang meninggal dunia dan hampir lima negara serantau dinaiki air.
Agensi bencana itu, berkata lebih 4.2 juta orang ‘terjejas’ akibat banjir dengan 222,000 rumah musnah dan setengah juta lagi dilaporkan rosak teruk.
Lebih 0.80 juta hektar tanaman musnah di Sindh saja, kata agensi bencana wilayah itu, di mana kehidupan petaninya bergantung dari musim ke musim.
Rabu lalu, Menteri Perubahan Iklim India, Sherry Rehman, yang menggelar banjir sebagai ‘malapetaka berskala besar’, berkata kerajaannya sudah mengisytiharkan darurat dan merayu bantuan antarabangsa.
Pakistan berada di tempat kelapan dalam Indeks Risiko Iklim Global, senarai yang disusun oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, Germanwatch, sebagai negara yang dianggap paling terdedah kepada cuaca melampau yang disebabkan oleh perubahan iklim.