26 OGOS : Dakwaan Malaysia banyak berhutang dengan negara jiran, Indonesia adalah tidak benar dan hanya 2.5 peratus sahaja hutang negara adalah pinjaman luar.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, beliau berkata 2.5 peratus hutang negara tersebut adalah pinjaman dari pelbagai institusi dan pelabur asing dari seluruh dunia, antaranya dari Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, China dan Singapura.
“Jadi, 2.5 peratus pinjaman asing ini, takkan Indonesia mahu ‘tapau’ semua. Ia memang tidak logik.
“Sebanyak 97.5 peratus hutang negara adalah pinjaman dalam negara,” katanya menerusi video yang dimuat nak melalui Twitter rasminya.
Tengku Zafrul menjelaskan cara kerajaan meminjam tidak seperti cara individu meminjam daripada rakan mereka.
“Antara cara kerajaan membuat pinjaman ialah melalui terbitan bon. Selepas itu, kita buat bidaan. Para pelabur akan membuat bidaan kadar pulangan atau hasil serta jumlah yang ingin dilanggan.
“Pelabur yang membuat bidaan kadar pulangan yang paling rendah berserta jumlah pinjaman yang paling tinggi akan dipilih,” katanya, sambil menegaskan amat jarang untuk kerajaan membuat pinjaman secara terus dari negara lain.