25 OGOS : Pihak berkuasa Australia merampas dua tan methamphetamine bernilai AS$1.1 bilion (RM4.9 bilion) yang disembunyikan dalam jubin marmar yang dibawa masuk dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Sydney.
Rampasan dadah itu sekali gus mencatatkan rekod rampasan dadah terbesar di negara itu.
Susulan itu, tiga lelaki ditahan selepas 748 kilogram dadah ditemui awal bulan ini, disembunyikan dalam 24 kontena yang tiba di Pelabuhan Botany, kata pegawai pada Jumaat.
Sebanyak 1,060 kilogram lagi dadah ditemui dalam 19 kontena yang tiba di pelabuhan yang sama minggu lalu. Dadah itu disembunyikan dengan cara sama dan semuanya dihantar dari UAE.
“Rampasan ini mengejutkan dan akan dirasai selama beberapa minggu yang akan datang oleh banyak pembekal peringkat tinggi, pertengahan dan rendah,” kata Ketua Detektif Polis, Superintendan John Watson.
Tiada tangkapan lanjut dibuat sejak rampasan minggu lalu. Penyiasat mengalihkan perhatian mereka untuk mengenal pasti pembekal luar negara.
Semua kontena dijadualkan dihantar ke sebuah kilang di barat Sydney yang tersedia untuk mengekstrak meth daripada marmar dengan segera, kata Watson.
Ketiga-tiga suspek berusia 24, 26 dan 34 berdepan kemungkinan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan mengedar dadah.
Rekod rampasan dadah sebelum ini membabitkan 1.8 tan yang disembunyikan dalam pembesar suara dan dihantar ke Melbourne dari Bangkok pada April 2019.