27 OGOS : Tarif elektrik bagi semua pengguna untuk separuh tahun kedua 2022 terus kekal pada kadar yang sama dengan separuh tahun pertama 2022.
Ini berikutan kenaikan mendadak harga bahan api dunia pada tahun ini, kerajaan pada 24 Jun 2022 telah memutuskan perkara tersebut walaupun kos penjanaan elektrik telah meningkat.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pada awal tahun 2021, harga arang batu adalah sekitar US$80 se tan metrik (RM4.4655=US$1), namun pada pertengahan tahun 2022, ia telah mencecah US$400 se tan metrik.
“Sehubungan itu, kerajaan akan menanggung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi memanfaatkan kesemua ahli Keluarga Malaysia daripada impak kenaikan kos elektrik.
“Kerajaan akan membayar jumlah RM5.8 bilion tersebut kepada syarikat utiliti negara Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi memastikan TNB tidak terkesan daripada kenaikan mendadak harga bahan api untuk penjanaan elektrik selaras dengan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR),” katanya kenyataan itu.
MOF turut memaklumkan kenaikan kos penjanaan elektrik juga meningkatkan keperluan modal kerja TNB.
“Sehubungan itu, kerajaan juga akan memberi jaminan pembiayaan TNB sehingga RM6 bilion untuk memastikan operasi TNB menjana bekalan elektrik tidak akan terganggu bagi manfaat Keluarga Malaysia, di samping memangkin kemampanan industri tenaga negara,” katanya.