29 OGOS : Pelbagai aspek perlu diambil kira oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum untuk membuat keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Pertimbangan itu menurut beliau termasuklah soal kestabilan dan usaha pemulihan ekonomi negara serta membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang perlu diteliti oleh Perdana Menteri sebelum membuat keputusan untuk melaksanakan PRU15.
“Saya fikir Perdana Menteri tentu mengambil kira pelbagai faktor atau aspek tertentu terutama berkaitan kestabilan politik sebelum membuat keputusan umumkan tarikh pilihan raya ke 15,” katanya.
Mahdzir berkata demikian ketika ditanya pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda, Paroi, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
Media semalam melaporkan Ismail Sabri enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai spekulasi tarikh PRU-15 yang didakwa diawalkan susulan perbincangan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tempoh hari, sebaliknya, meminta semua menunggu mengenai tarikh pilihan raya umum itu.
Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Taklimat Khas Presiden di hadapan lebih 2,000 ahli parti itu dilapor berkata, MKT akan berbincang mengenai desakan supaya PRU-15 diadakan segera.
Media sebelum ini melaporkan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal iaitu pada 7 Oktober.