29 OGOS : Pasukan khas yang menyiasat buku Tommy Thomas , My Story: Justice in the Wilderness telah selesai menjalankan siasatan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan kehakiman yang ditulis oleh bekas peguam negara itu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan oleh Penasihat Undang-Undang kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung, telah mengenal pasti 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan
“Sebanyak 19 sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan, yang terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu dijalankan sepanjang tempoh menyiapkan laporan berkenaan.
“Laporan akhir ini seterusnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan yang perlu dilaksanakan,” katanya menerusi satu satu kenyataan hari ini.
Kata Wan Junaidi lagi, pasukan petugas khas siasatan itu membentang dan menyerahkan laporan akhir kepadanya hari ini setelah sembilan bulan menjalankan siasatan.
“Satu laporan interim sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan pada 18 April 2022 dan laporan akhir ini disediakan melalui hasil penelitian dokumen serta sesi konsultasi dengan pihak berkaitan,” katanya..
Pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, yang ditulis dalam buku itu.
Buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, yang diterbitkan Thomas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.
Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.
Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata, pasukan petugas khas itu dipengerusikan Joo Chung, dengan keahlian terdiri daripada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan dan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat merangkap bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin.
Ahli lain adalah bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jagjit Singh; peguam, Datuk Shaharudin Ali dan K Balaguru.
Mereka turut disertai wakil daripada kementerian dan jabatan yang berkepentingan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).
Selain itu, Wan Junaidi berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urus setia bagi jawatankuasa berkenaan.