29 OGOS : Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Manifesto Barisan Nasional (BN) di negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berkuatkuasa Ogos lalu.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata, BN Selangor berharap Tengku Zafrul akan sentiasa saling bekerjasama dan berhubung dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengetuai manifesto di peringkat BN Pusat.
“Pelantikan ini sudah pun berkuat kuasa dan telah mula mengadakan mesyuarat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan, Koperasi dan Pendidikan Parlimen Sabak Bernam di Dataran Usahawan, hari ini.
Pada 31 Julai lalu, BN Selangor mengumumkan Tengku Zafrul dilantik sebagai Bendahari BN Selangor bagi menggantikan Datuk Seri Jamal Yunus yang dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail, berkata pelantikan Tengku Zafrul sudah semestinya memberi keyakinan kepada UMNO untuk menunjukkan manifesto yang diyakini rakyat di negeri ini.
Pada masa sama, katanya, pemilihan Bendahari BN Selangor itu dilihat tepat kerana beliau mempunyai kemampuan untuk menilai dan memberi perkhidmatan terbaik dan kemampuan sebagai sebuah kerajaan negeri.
“Sudah pasti kehadiran Tengku Zafrul membantu BN bagi menghadapi PRU-15 akan datang.
“Saya yakin dan percaya akan ada gerak kerja untuk memastikan kemenangan BN di Selangor,” katanya.