30 OGOS : Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia dan Thailand komited dalam memperkukuh hubungan dua hala akrab sedia ada dalam pelbagai bidang terutamanya dalam fasa pasca-COVID-19.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas pemangku Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan di Government House menerusi satu kenyataan hari ini.
Turut hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.
Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju meningkatkan kerjasama dan usaha dalam melaksanakan persetujuan yang dicapai dalam lawatan kerja beliau itu.
“Kami turut suarakan komitmen untuk memastikan setiap yang diperhalusi semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Thailand (GBC MALTHAI) Ke-55 di Kuala Lumpur Mei lalu dilaksanakan sebaiknya demi keselamatan sempadan antara kedua-dua negara,” katanya.
“Saya percaya perkara yang dibincangkan akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara dan seterusnya menyumbang ke arah pemantapan hubungan dua hala dan kerjasama di antara Malaysia dan Thailand,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Hishamuddin turut mengambil peluang berkongsi beberapa perkembangan penting hasil Mesyuarat Dua Hala dengan rakan sejawat, Prayuth Chan o-cha pada Isnin, termasuk cadangan Malaysia mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan serta Mesyuarat Peringkat Menteri Pertahanan Empat Negara mengenai Malacca Straits Patrol (MSP).
Beliau berada di Bangkok atas jemputan Prayuth selain menghadiri ekspo Pertahanan & Keselamatan 2022 di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT semalam dan kunjungan hormat ke atas Prawit mengakhiri lawatan kerjanya ke Thailand.