30 OGOS : Sudah tiba masanya setiap stesen TV dan produksi TV mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah untuk menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum disiarkan, demikian kata Menteri Agama, Datuk Idris Ahmad.
Menurutnya, memang hiburan itu adalah satu fitrah, tetapi biarlah hiburan itu bertepatan dan berlandaskan agama dan syariat.
“Karya-karya seni atau program yang cuba menormalisasikan budaya yang bersalahan dengan syariat Islam dan nilai akhlak serta budaya masyarakat negara ini perlu dielakkan sama sekali. Ia mesti ditentang habis-habisan bermula daripada kita semua.”
“Saya mengambil peluang seluas-luasnya pada pertemuan yang sangat baik ini terhadap beberapa kerisauan saya dan kita semua dalam sekitar sebulan dua ini tentang pelbagai aktiviti hiburan yang tidak menepati garisan Islam dan kerisauan kita terhadap kecenderungan masyarakat yang tidak di didik dalam berhibur.
“Peluang saya bertemu dengan para pemain industri penyiaran ini adalah satu peringatan bersama untuk menjayakan agenda yang lebih baik dalam mendidik masyarakat terhadap isu-isu hiburan yang melampau dan tidak hanya melihat kepada keuntungan semata-mata, namun isu moral yang dibina untuk masyarakat Malaysia terutamanya anak muda perlu dititik berat dalam dunia penyiaran ini,” ujarnya.
Beliau hari ini mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain industri perfileman dan hiburan di negara ini di Putrajaya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menurutnya sentiasa bekerjasama dengan semua pihak industri dan telah menerbitkan tiga garis panduan untuk rujukan semua pihak.
“JAKIM juga telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Hadith yang membuat kajian serta rujukan hadith kepada semua masyarakat. Kita tidak mahu masyarakat terus terjebak dengan penyebaran hadith palsu.
“Semoga pertemuan dan perbincangan ini dapat memberi nafas baru kepada dunia penyiaran negara terutama dalam penerapan nilai-nilai agama dan kandungan yang bertepatan dengan syariat.
“Saya juga mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada agensi Kerajaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KKMM , Kementerian Dalam Negeri (KDN) , Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia , The Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF), stesen-stesen TV dan produksi yang turut hadir bersama,”ujarnya.