1 SEPT : Kira-kira 16 juta orang di bandar Chengdu di China akan dikurung mulai hari ini, dalam usaha pihak berkuasa mahu menghapuskan wabak COVID-19 baharu.
Chengdu, menjadi bandar yang terbaharu mengumumkan penutupan dan dalam notis rasmi mengarahkan penduduk untuk ‘diam di rumah’ mulai 6 petang waktu tempatan bagi memerangi gelombang baharu jangkitan.
Notis itu menyatakan, setiap isi rumah akan dibenarkan menghantar seorang sahaja keluar untuk membeli barangan runcit dan barangan keperluan setiap hari, dengan syarat mereka sudah diuji negatif dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Chengdu merekodkan 157 jangkitan tempatan baharu haru itu dengan 51 daripadanya adalah tidak bergejala.
Menurut laporan oleh media yang bergabung dengan People’s Daily hari ini, kanak-kanak di sekurang-kurangnya 10 bandar dan wilayah menghadapi gangguan pada tahun akademik baharu kerana kawalan pandemik yang memaksa sekolah untuk beralih kepada langkah seperti pembelajaran dalam talian.
Xining yang juga ibu kota wilayah Qinghai dan pusat kepada 2.5 juta orang, juga sudah mengarahkan sekolah menjalankan pelajaran dalam talian, melancarkan ujian saringan besar-besaran dan memberitahu penduduk di kawasan bandar utamanya untuk bekerja dari rumah selama tiga hari.
China masih berpegang teguh pada strategi sifar toleransi virus meskipun kehadiran Omicron yang merebak pantas dan pendekatan itu dibimbangi akan menyekat pemulihan ekonomi selepas pandemik.
Bulan lalu, lebih 80,000 pelancong di wilayah pulau selatan Hainan membantah selepas terkandas di sebuah bandar peranginan kerana wabak COVID-19.
Malah, ada video media sosial di Shanghai menunjukkan orang ramai panik melarikan diri dari gedung IKEA dan bangunan lain ketika pegawai cuba mengenakan penutupan tempatan sebagai tindak balas kepada dua kes yang disyaki.