1 SEPT : Angka kes jangkitan COVID-19 baharu kembali meningkat melebihi angka 2,000 dengan 2,340 kes yang dikesan semalam.
Kes baharu itu membabitkan 2,338 kes penularan tempatan dengan dua kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Menerusi data yang dikongsikan dalam laman sesawang Covidnow, pertambahan kes itu menjadikan sehingga kini sebanyak 4,782,624 kes sudah dijangkiti COVID-19 sejak ia menular pada 2019.
Setakat ini, sebanyak 30,991 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu 95.5 peratus bersamaan 29,604 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.
Selain itu terdapat 4.2 peratus atau 1,301 kes sudah mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (17), unit rawatan rapi (ICU) (69) dengan 42 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak enam kes kematian akibat jangkitan COVID-19 direkodkan semalam dan satu daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Ia menjadikan angka korban di negara ini meningkat kepada 36,216 kes dan 7,696 kes daripadanya meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.
Bagi kes sembuh yang dilaporkan semalam, terdapat sejumlah 2,502 kes sekali gus menjadikan jumlah individu sembuh daripada jangkitan itu meningkat kepada 4,715,417 kes.