1 SEPT : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengesahkan bahawa pihak polis telah mengambil keterangannya berhubung laporan yang dibuat beliau terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Menurut Abd Latiff menerusi satu kenyataan, susulan laporan polis tersebut pada 30 Ogos lalu, beliau telah didatangi oleh pegawai polis pagi tadi untuk diambil keterangan.
“Saya tegaskan bahawa saudara Rafizi adalah seorang pembohong yang memfitnah dan mentohmah saya dan keluarga saya hanya semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Selasa lalu, pembantu Abdul Latiff telah membuat laporan polis terhadap Rafizi berhubung dakwaan yang mengaitkan menteri itu dengan kes kapal tempur pesisir (LCS).
Sayed Ahmad Muizzuddin Al Sayed Mohamad dalam laporannya menafikan dakwaan Rafizi di media sosial bahawa seorang wanita dikenali dengan nama Zainab Mohd Salleh, yang terlibat dengan dakwaan menyeleweng dana daripada projek LCS, adalah isteri kedua Abdul Latiff.