1 SEPT : PAS akan terus konsisten dengan usaha mengukuhkan hubungan kerjasama politik sedia ada bersandarkan kepada prinsip perpaduan ummah.
Sehubungan itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menegaskan bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kalau sesiapa nak pergi bekerjasama dengan PH pergilah.
“Pas tidak akan bekerjasama dengan PH ataupun rakan-rakan kongsi daripada PH.
“Pas tetap dengan pendirian kita ialah kepada perpaduan ummah dalam kalangan kita. Itu pendirian kita yang jelas.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan tunai RM600 seorang kepada 11 mangsa banjir di Dewan Air Kuning, Changkat Jering, Taiping hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lalu dilaporkan membayangkan hasrat untuk bekerjasama dengan pembangkang pada PRU15 atas dasar kepentingan negara.
Kelmarin, media melaporkan Setiausaha Agung Pas., Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, partinya memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan PH atau mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuk cadangan konsep ‘khemah besar’.
Pimpinan Pas ketika ini menurut Idris sedang memuktamadkan pembahagian kerusi sebagai usaha menghadapi PRU15.
“Perkara itu sedang berjalan dan sedang diuruskan pimpinan parti. Ia akan diumumkan (dimuktamadkan) tidak lama lagi,” jelasnya.