2 SEPT : Dewan Ulama Pas sebulat suara menerima usul wakil Dewan Ulama Pas Kelantan, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berhubung penyatuan ummah dan menolak sebarang kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Usul tersebut meminta Dewan Ulama Pas memainkan peranan secara proaktif untuk menyatukan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kekuatan politik Melayu-Islam dapat disatukan di bawah agenda penyatuan ummah.
“Dewan Ulama hendaklah memainkan secara proaktif dalam menyatupadukan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kekuatan politik Melayu dan Islam disatukan demi penyatuan ummah.
“Selain itu, strategi satu lawan satu pada PRU15 juga hendaklah dilaksanakan bagi mengelak pertembungan sesama sendiri khususnya parti politik berteraskan Melayu di kawasan majoriti pengundi Melayu yang hanya akan menguntungkan PH,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising pada sesi pembentangan usul pada Muktamar Dewan Ulama Pas di Dewan Serbaguna Guar Chempedak,hari ini.
Usul berkenaan diterima perwakilan sebulat suara tanpa dibahaskan dan turut mendapat sokongan Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi dan dibentangkan itu akan dibawa ke Muktamar Pas ke-68 yang akan berlangsung di Alor Setar, pada Sabtu.
Katanya, pengalaman selama 22 bulan di bawah pemerintahan PH amat memeritkan rakyat, justeru, pihaknya akan sedaya upaya akan memastikan PH tidak akan kembali menerajui kerajaan.