2 SEPT : Gerakan Tanah Air (GTA) menegaskan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) buat masa ini, yang didakwa sebagai punca krisis politik di negara ini.
Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya, berkata krisis politik di Malaysia bermula dengan pengkhianatan Muhyiddin, yang membawa BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan (PH), hingga menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sehubungan itu, Marzuki yang juga Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), melihat sukar untuk GTA, yang membawa inspirasi baharu kepada orang Melayu, menjalin kerjasama dengan Muhyiddin dan PN.
“Sebelum ini, (Pengerusi GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad jelas memaklumkan bahawa segala masalah dalam negara, dilakukan oleh Muhyiddin dan PN.
“GTA sebagai satu inspirasi baharu dalam perjuangan orang Melayu sudah pasti tidak akan bersama dengan parti sebegini.
“Tun sudah buat kenyataan dengan jelas bahawa masalahnya adalah Muhyiddin. Saya tak rasa GTA akan menjalin hubungan dengan PN buat masa ini,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin, baru-baru ini, yang menggesa parti pembangkang untuk membuka pintu rundingan dengan PN, jika mereka semua sepakat bahawa musuh yang perlu ditentang dalam PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN).
Presiden BERSATU itu turut menyatakan pendirian terbuka untuk bekerjasama dengan GTA, memandangkan beliau pernah bertemu dengan Dr Mahathir untuk mengusulkan mengenai kerjasama kedua-dua pihak, namun tiada sebarang keputusan dibuat sehingga kini.
Sebelum ini, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mendedahkan Muhyiddin bertemu dengan Mahathir empat hari selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu dan mengusulkan cadangan kerjasama PN dan PH, disertai PEJUANG, Parti Warisan (WARISAN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Menerusi kerjasama ‘khemah besar’ itu, Muhyiddin menawarkan diri sebagai Perdana Menteri, namun difahamkan PH menolak cadangan berkenaan.
Semalam, media melaporkan, Dr Mahathir memaklumkan GTA belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai kerjasama dengan PN dan menyifatkan pertemuan dengan Muhyiddin lebih kepada usaha untuk Presiden BERSATU itu menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Ditanya sama ada Muhyiddin ada mengusahakan pertemuan baharu dengan Dr Mahathir, Marzuki memaklumkan, tiada sebarang pertemuan antara kedua-dua bekas Perdana Menteri itu, setakat ini.
Berhubung kemungkinan GTA menjalin kerjasama dengan PH atau bergerak sendiri, Marzuki menegaskan, tumpuan ketika ini adalah mengatur gerakan bersama empat anggotanya iaitu PEJUANG, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), di samping pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu.
“Ini adalah gerakan orang Melayu yang melihat masalah yang timbul di negara kita adalah kerana orang Melayu yang tidak berpegang pada amanah.
“GTA akan cuba melahirkan pemimpin Melayu yang lebih berwibawa untuk mentadbir negara pada masa akan datang,” katanya.