2 SEPT : Masjid tidak dijadikan sebagai tempat untuk mencerca sesama umat, bertelingkah dan gelanggang politik, demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Titah Baginda, masjid seharusnya dijadikan sebuah institusi yang menerajui kebaikan, pusat kegiatan umat Islam, malah sebagai lilin yang menyinari masyarakat setempat.
“Saya ingin berpesan kepada pengurusan masjid di seluruh negeri Pahang yang dicintai ini, pengurusan masjid adalah pemegang amanah rumah Allah. Justeru, laksanakan tanggungjawab dalam mengurus rumah Allah ini dengan penuh keikhlasan, jujur dan amanah.
“Saya memang tidak membenarkan mana-mana pihak berpolitik dalam rumah Allah, jadilah ini sebagai satu ingatan kepada kita semua, dan saya harap tidak ada yang mempertikaikan arahan ini. Ia untuk kesejahteraan dan kebaikan bersama kita umat Islam dan Orang Melayu.
“Kalau nak berpolitik pun luar masjid sahaja, bukan dalam masjid, jadilah ini ingatan kepada kita semua dan khususnya pengurusan masjid, saya harap pengurusan masjid bertanggungjawab dalam hal ini. Jangan politikan apa yang saya kata ini, ia tidak mencerminkan kesucian agama Islam dan rumah Allah ini, jangan kata saya tak mengingatkan…kita semua mengingati sesama sendiri,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Majlis Perasmian Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 Sultan Pahang, di sini.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan kerabat diraja Pahang serta barisan kepimpinan kerajaan negeri, termasuk Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis berkenaan, Seri Paduka yang juga Sultan Pahang berkenaan merasmikan dan memasyurkan masjid berkenaan dengan nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum menandatangani papan tanda perasmian masjid itu.
Al-Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan RM9.5 juta bagi pembinaan masjid itu.
“Saya mesti nyatakan di sini ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah luluskan (peruntukan) pembinaan masjid ini. Terima kasih juga kepada kerajaan negeri Pahang dan semua yang terbabit bermula dari perancangan awal sehingga masjid ini megah berdiri pada hari ini sebagai mercu tanda yang ikonik di sini,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut berpandangan bahawa masjid bukan hanya sekadar berperanan sebagai sebuah pusat untuk beribadah malah dapat dikembangkan dengan pelbagai fungsi lain termasuk pusat aktiviti ekonomi, kesukanan, persatuan, pembelajaran dan kemasyarakatan.
“Masjid adalah sebuah pusat sehenti yang boleh memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat setempat. Berasaskan daripada itu, pengurusan masjid mesti lebih berpandangan jauh dan bersifat proaktif untuk melangkah keluar dari masjid dengan mengunjungi ahli-ahli kariah.
“Masjid hendaklah diperkasakan mengikut realiti zaman, kerana ia adalah benteng terakhir untuk perpaduan dan kesatuan umat Islam,” titah baginda.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya pengurusan masjid membabitkan masyarakat bukan Islam, agar mereka lebih rapat dengan penganut agama Islam dan turut memahami agama Islam, selain lebih giat memikat golongan pemuda serta remaja untuk turut terbabit dalam mengimarahkan masjid.
Baginda kemudian berkenaan menunaikan Solat Jumaat yang diimamkan Ahmad Tajuddin Mat Zin di masjid yang dibina di kawasan seluas kira-kira 4.04 hektar (10 ekar) itu.