2 SEPT : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan keputusan keperluan untuk melonggarkan pemakaian pelitup muka, dalam masa terdekat.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan dan beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang selepas Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, KKM memaklumkan bersedia mengkaji keperluan untuk melonggarkan pemakaian pelitup muka seperti dilaksanakan Kerajaan Singapura.
Tanpa memperincikan tempoh, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kajian mengenainya akan dilaksana.
Ia susulan kenyataan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan pakar epidemiologi menggesa supaya KKM membuat keputusan berhubung kelonggaran pemakaian pelitup muka berdasarkan beberapa indikator COVID-19 di negara ini yang terus menunjukkan penurunan, termasuk kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan.
Muhyiddin dilaporkan berkata, ketika ini juga sudah ada kebiasaan baharu dalam kalangan rakyat mahupun warga asing di negara ini untuk memakai pelitup muka tanpa dipaksa.
Justeru, katanya, jika sudah menjadi kebiasaan, sewajarnya KKM tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka, sebaliknya masih boleh terus digunakan jika penduduk negara ini berasa lebih selamat.