2 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan melancarkan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor pada pukul 2.30 petang esok.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu juga akan diedarkan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang terpilih esok selepas majlis perasmian.
“Setiap penerima bakal mendapat Tablet Samsung model terkini, lengkap dengan casing (pelindung), keyboard (papan kekunci) dan stylus pen. Tahniah kepada yang terpilih,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya.
Sebelum ini, Annuar dilaporkan berkata dijangka 60,000 pelajar akan menerima manfaat dan permohonan yang dibuka secara dalam talian sejak 15 April hingga 15 Mei lepas bagi fasa pertama telah menerima kira-kira 100,000 permohonan.
Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.
Tablet jenama Samsung telah dipilih sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.